Laporan/foto: Mohammad Rasuli/Mior Asrul Hadi (Bagan Datuk)
BAGAN DATUK, 15 Sep (Malaysiaaktif) – Konvoi 80 unit motosikal menggamatkan suasana dan mencuri tumpuan ramai ketika melalui beberapa jalan utama di sekitar bandar, di sini Rabu lalu.
Menurut Penolong Pengarah Unit Pembangunan Komuniti dan Kemahiran KEMAS Perak Muhammad Hilmi Ali, konvoi bermotosikal dari Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Perak itu memulakan misi jelajah selama empat hari bermula pada 12 September lalu di Wisma Persekutuan, Seberang Perai Utara dan akan berakhir di Dataran Gemilang, Putrajaya pada 15 September.
Sementara itu, Pengarah KEMAS Perak Taufik Mohd Yusop, berkata perasmian penutup bagi konvoi ini akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Sesuai dengan tema Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, aktiviti konvoi ini diadakan bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotisme selain menjadi wadah kepada kakitangan KEMAS untuk mendekati masyarakat melalui aktiviti yang dianjurkan,” ujarnya ketika berucap sempena Program Kembara Merdeka Desa Madani kelmarin.
Bagan Datuk menjadi destinasi persinggahan terakhir di Perak sebelum pasukan konvoi ini meneruskan perjalanan ke Selangor melalui Sabak Bernam.
-ZS-