Laporan/foto: Ruddy M. Hams/Nor Syahirah (Petaling)
PETALING JAYA, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Koridor Sejarah yang terletak di Kampung Baru Setia, Sungai Way, di sini menggamit kenangan sebelum merdeka dengan mempamerkan pelbagai barangan bersejarah dan antik yang pernah dimiliki oleh masyarakat pada suatu ketika dahulu.
Jika anda memasuki ruang koridor tersebut, anda akan berasa seakan-akan hidup pada zaman sebelum merdeka kerana setiap barangan yang dipamerkan ada ceritanya tersendiri.
Menurut Pengurus Koridor Sejarah Ding Eow Chai, semua barangan yang dipamerkan di ruangan tersebut adalah hasil sumbangan daripada masyarakat di sekitar Kampung Baru Setia, Sungai Way.
Katanya, pengunjung boleh menetapkan alamat dalam aplikasi Waze di Jalan SS 9A/1, Sungai Way Free Trade Industrial Zone, Petaling Jaya, Selangor.
“Koleksi peribadi jika disimpan sendiri oleh pemilik, kemungkinan suatu masa akan hilang dan tidak dijaga dengan baik, namun sekiranya disumbangkan kepada Koridor Sejarah ini, maka koleksi tersebut akan terus dijaga dengan rapi dan akan menjadi tatapan generasi akan datang.
“Oleh itu, jangan lepaskan peluang dengan membawa ahli keluarga anda ke sini kerana anda merasai pengalaman dan dapat mengimbau kenangan zaman dahulu,” katanya baru-baru ini.
-ZS-