Laporan/foto: Juliawati Razali (Sepang)
SEPANG, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Sambutan Bulan Kebangsaan di Taman Seroja, di sini diadakan setiap tahun sejak 2019 tanpa mengira latar belakang politik penduduknya.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seroja Mohammad Rizal Zakaria, berkata penduduk setempat sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan menjayakan pelbagai program.
“Walaupun kepimpinan silih berganti, KRT Taman Seroja dan seluruh penduduk setempat tetap mendapat kerjasama baik dari agensi kerajaan persekutuan mahupun negeri,” katanya yang juga Pengerusi Komuniti Madani Taman Seroja.
Beliau berkata demikian semasa berucap di program sambutan kemerdekaan anjuran KRT Taman Seroja semalam yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek Lwi Kian Keong.
Sementara itu, Kian Keong semasa menyampaikan ucapan perasmian menyeru semua kaum di negara ini mengekalkan semangat perpaduan dan keharmonian.
“Ketepikan idealogi politik masing-masing untuk kita bekerjasama dalam membangunkan kawasan dan demi kemajuan negara kita yang akan datang,” katanya.
Program bermula seawal pukul 7.30 pagi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti zumba, sukaneka, pertandingan mewarna dan pakaian beragam turut dihadiri Ahli Parlimen Sepang, Aiman Atirah Al-Jundi.
-ZS-