
Laporan/foto: Siti Nor Syahirah Mohd Hashim/Mohd Hizami Mohd Hanip (Petaling)
PETALING JAYA, 1 Sep (Malaysiaaktif) – Kemerdekaan yang dinikmati selama 66 tahun adalah milik seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama di negara ini.
“Kesedaran tentang pentingnya menjaga kemakmuran, kestabilan ekonomi, politik dan alam sekitar adalah salah satu elemen cinta akan negara ini”.
Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata demikian ketika merasmikan Program Merdeka@Komuniti anjuran Pejabat Penerangan Daerah Petaling di Komunti Madani PJS9, di sini semalam.
“Penglibatan pelbagai kaum dalam program ini jelas mempamerkan perpaduan yang lebih erat antara satu sama lain tanpa sebarang prejudis.
“Mari kita bersatu di bawah satu bendera Jalur Gemilang dan bersama-sama membangunkan negara yang tercinta ini,” katanya.
Program diadakan dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PJS9 itu diadakan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 dengan tema Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.
Turut hadir wakil Pejabat Ahli Parlimen Subang Iskandar, Ahli Majlis Zon 2 MBSJ Tah Yap Keong dan Pengerusi KRT PJS9 Goh Ching Hing.
-ZS-