
Laporan/foto: Liza Imelia M. Sulanah (Larut Matang dan Selama)/MPT
TAIPING, 18 Sep (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menerima anugerah ‘Best Muslim Friendly Nature Destination’ sempena Majlis World Islamic Tourism Awards (WITA) 2023 yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, Selangor pada Jumaat.
Pengarah Perancang dan Pembangunan Bandar MPT TPr. Syahrulnizam Baharom, berkata pengiktirafan ini adalah sesuatu yang tidak disangka-sangka dan menjadi suntikan semangat kepada warga MPT untuk terus bekerja demi mempromosikan Taiping yang bakal menyambut ulang tahun ke-150 pada tahun hadapan.
“Penerima anugerah ini telah dipilih dengan teliti menerusi piawaian pematuhan yang ditetapkan oleh panel pemilih WITA yang masing-masing berpengalaman lebih daripada 30 tahun dalam industri pelancongan,” katanya ketika ditemu bual di pejabatnya, di sini baru-baru ini.
Syahrulnizam dan Ketua Bahagian Korporat, Perhubungan Awam dan Pelancongan, Muhammad Hafizzuddin Azhar mewakili MPT menerima anugerah itu yang disampaikan oleh Pengerusi WITA Datuk Noor Zaleha Baharuddin dan Pengerusi Pengelola Asia Hajj, Umrah & Islamic Tourism Conference & Exhibition (AITEX) Datuk Jeffri Sulaiman.
WITA dianjurkan bagi menghargai mereka yang menyumbang kepada kejayaan dalam industri pelancongan Islam. Sebanyak 55 anugerah diberikan kepada individu dan pemain industri yang bekerja keras memastikan industri pelancongan Islam di rantau ini terus pada tahap terbaik.
-ZS-