
Laporan/foto: Surega Vasuthevan (Melaka Tengah)
KLEBANG, 18 Sep (Malaysiaktif) – Festival Layang-Layang Gergasi berpotensi menjadi tarikan terbaharu pelancongan sukan di negeri Melaka.
Menurut Pengurus Besar Tourism Melaka Sa’ari Basiron, festival ini dapat diteruskan dengan skala besar pada tahun yang akan datang dan juga akan menjadi sebutan dalam kalangan pengunjung dari dalam serta luar negara untuk mempromosikan negeri Melaka sebagai salah satu destinasi pelancongan sukan.
“Program ini juga dikategorikan sebagai sub-sektor pelancongan sukan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Melaka bagi mencapai sasaran 8.4 juta pelancong sebelum penghujung tahun ini,” ujarnya.
Semalam, Melaka menerima lebih 60 penyertaan domestik dan antarabangsa seperti China, Macau dan Singapura di Festival Layang-Layang Gergasi Melaka 2023 anjuran Tourism Melaka bersama Bahagian Promosi Pelancongan, Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Persatuan Rakan Layang-Layang Negeri Melaka bagi menyemarakkan Tahun Melawat Melaka 2024.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka Abdul Razak Abdul Rahman.
-ZS-