Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Plogging@Community Didik Belia Pelihara Kebersihan Pantai

By 26 September 2023September 29th, 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Khairunnisa Abd Rahman (Melaka Tengah)

PANTAI PUTERI, 26 Sep (Malaysiaaktif) – Program Rakan Bumi: Plogging@Community Daerah Melaka Tengah di Pentas Budaya Pantai Puteri kelmarin bertujuan memupuk budaya murni dalam kalangan belia untuk menjaga alam sekitar terutama di kawasan pantai.

Plogging@Community yang berkonsep berjalan dan berjoging sambil mengutip sampah di persisiran Pantai Puteri ini melibatkan penyertaan belia daripada Kelab Rakan Muda Tangga Batu, Belia Madani Tangga Batu, Politeknik Melaka, Skuad Rakan Muda Cosmopoint, Universiti Multimedia, pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjong dan Kampung Gelam dilihat berjaya mencapai objektif.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor Tuminah Kadi, program ini selaras dengan kempen kerajaan negeri sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

“Saya berbesar hati menerima penganjuran program ini di Pantai Puteri kerana ia berjaya mendidik anak-anak muda memelihara alam sekitar dan kawasan pantai.

“Selain itu, pantai ini merupakan kawasan tumpuan pelancong dalam dan luar negeri. Program ini dilihat menyahut seruan kerajaan untuk menjayakan TMM 2024,” ujarnya.

Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah turut membantu mengumpul sisa-sisa sampah yang dikutip manakala Klinik Kesihatan Seri Tanjong mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma di samping menyampaikan taklimat berkaitan denggi.

-ZS-

Tinggalkan komen anda