Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Tumpang Rezeki di Bumi Kimchi

By 26 September 2023September 29th, 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fauzrina Bulka (Sabah)

SEOUL, 26 Sep (Malaysiaaktif) – Lelah berkelana di negara orang, siapa sangka lapar dan dahaga masih boleh dihilangkan dengan nasi lemak dan asam pedas?

Bangga dan teruja, rupanya Restoran Kimseri yang terletak di Myeon-dong merupakan milik anak Melayu dan salah seorang darinya anak Sabah kelahiran Kota Kinabalu, Esnaira Sairaan.

Beliau yang berusia 40 tahun nekad mengusahakan sebuah restoran bersama sahabatnya Seri Azlina Mohamed Sani, 38, yang menyediakan makanan halal sekali gus memperkenalkan makanan tradisi Malaysia di negara yang diberi jolokan bumi Kimchi itu.

“Dua orang chef kami memang orang Malaysia, kakitangan kami pula diambil daripada kalangan pelajar Melayu yang belajar di sini, dengan itu sedikit sebanyak dapat membantu kewangan mereka menjalani kehidupan di Korea,” jelasnya ketika ditemui di restoran miliknya, di sini pada Isnin.

“Hanya tiga orang pekerja tempatan diambil bekerja di sini bagi memenuhi syarat yang ditetapkan,” ujar Esnaira yang sudah 13 tahun menetap di Korea.

Menurutnya, bahan mentah diambil daripada Itaewon yang dijual oleh komuniti Islam dan diyakini halal.

“Hanya rempah-rempah yang perlu dibeli dari Malaysia sekurang-kurangnya sebulan dua kali kerana tidak semua dijual di sini.

“Hidup di Korea memang sukar dengan kos kehidupan yang tinggi.

“Rezeki itu ada di mana-mana, terpulang dari kita untuk bekerja keras dan tidak terlalu memilih pekerjaan demi kelangsungan hidup,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda