Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

HSN Daerah Lipis 2023 Semat Perpaduan

By 16 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Juhaisa Azrin/Nur Bazilah (Lipis)

LIPIS, 16 Okt (Malaysiaaktif) – Orang ramai tidak melepaskan peluang dalam meraikan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Lipis bagi tahun 2023 yang diadakan di Dataran Orang Kaya Haji, di sini kelmarin.

Dataran tersebut dibanjiri masyarakat berbilang kaum daripada pelbagai peringkat umur sejak pukul 7.00 pagi bagi menyertai pelbagai acara sukan sekali gus mencerminkan semangat kesukanan yang tinggi serta amalan hidup sihat yang menjadi pilihan masyarakat kini.

Pegawai Daerah Lipis Datuk Hafizi Ibrahim turut serta dalam acara larian ceria sejauh 5 kilometer bersama-sama lebih 200 orang peserta sebagai tanda sokongan terhadap sambutan Hari Sukan Negara (HSN) yang diraikan pada setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober bermula tahun 2015.

“HSN ini telah menjadi agenda nasional dan ianya bukan sekadar memenuhi aktiviti kesukanan malah menjadi jambatan kepada semangat perpaduan serta saling memahami di antara semua kaum”, ujar beliau dalam ucapan perasmian.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi hadir bagi meraikan sambutan pada hari ini serta ingin menyeru agar semangat kesukanan ini diterapkan di setiap komuniti masing-masing,” katanya.

Hafizi turut memaklumkan akan usaha pembinaan Kompleks Sukan Daerah bertempat di Tempoyang bagi memenuhi keperluan masyarakat Lipis pada masa akan datang.

Antara acara sukan menarik yang diadakan sepanjang sambutan tersebut adalah ‘Fun Chair Robic’, ‘Skate Tournament’, sukaneka, pertandingan petanque, bola tampar, petandingan ‘Mobile Legend e-Sport’, ‘Netball Shootout’, ‘Lunges Challenge’, ‘Soccer Kids U10’, pemeriksaan kesihatan serta pameran oleh agensi-agensi kerajaan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda