
Laporan/foto: Nur Farhana Azman (Jasin)
JASIN, 23 Okt (Malaysiaaktif) – Program Karnival Komuniti Jasin Sejahtera anjuran Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) berlangsung dengan meriah di perkarangan Bandar Jasin Seksyen 3, kelmarin.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim Khaidirah Abu Zahar, berkata penganjuran program ini bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat di samping memupuk semangat kerjasama antara pelbagai jabatan dan agensi.
Menurut Khaidirah keterlibatan masyarakat dalam daerah ini adalah perkara paling utama program tersebut.
“Sambutan menggalakkan masyarakat dapat dibuktikan dengan kehadiran pelbagai peringkat umur dan orang ramai mula membanjiri kawasan perkarangan Bandar Jasin Seksyen 3 seawal pukul 7.30 pagi lagi.
“Saya juga dimaklumkan bahawa pelbagai aktiviti yang menarik dijalankan bagi menarik penyertaan peserta antaranya senamrobik, pacu ria, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan gubahan barangan 3R (pengurang, guna semula dan kitar semula), pertandingan sepak raga bulatan, reruai pameran dan kaunter perkhidmatan daripada pelbagai jabatan dan agensi serta saringan ujian kesihatan secara percuma oleh Pejabat Kesihatan Daerah Jasin,” ujarnya.
Turut hadir Setiausaha Majlis Perbandaran Jasin Mohd Zahiruddin Mohd Zahari, Ahli Majlis Perbandaran Jasin Kamarudin Mad Aris serta wakil-wakil jabatan dan agensi sekitar daerah Jasin.
-ZS-