Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Rahimah Rafiai (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 4 Okt (Malaysiaaktif) – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melancarkan Kempen Ayuh Daftar Suri@PERKESO yang selaras dengan aspirasi keadilan sosial yang giat diterapkan kerajaan dalam sektor ekonomi ihsan (care economy).
Menurut Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang telah diperkenalkan PERKESO itu melindungi golongan suri rumah yang sering terdedah kepada pelbagai risiko ketika menguruskan hal ehwal keluarga.
“Wanita yang berada dalam usia bekerja iaitu dari umur 15 hingga 64 tahun mewakili 49.33 peratus daripada keseluruhan penduduk di Malaysia. Namun demikian, kebanyakan daripada mereka ini bekerja sebagai suri rumah menyediakan perkhidmatan penjagaan yang tidak berbayar kepada anak-anak dan suami.
“Sayangnya, sumbangan mereka tidak dapat diterjemahkan kepada sebarang indeks, nombor atau peratus kerana tiada cara untuk mengukur sumbangan pekerjaan tanpa gaji ini kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
“Dengan bebanan kerja berganda sebegini, risiko kecederaan, kemalangan domestik dan lebih malang, kematian akibat faktor kelesuan dikenal pasti menjadi penyumbang utama di sebalik kes membabitkan wanita dalam sektor Ekonomi Penjagaan ini,” kata Wan Azizah ketika berucap merasmikan Karnival Aspirasi MADANI dan Kempen Ayuh Daftar Suri@PERKESO di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak, semalam.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud turut menyeru suri rumah mencarum SKSSR demi keselamatan dan kesejahteraan diri.
“Hanya dengan bayaran caruman sebanyak RM120 setahun, suri rumah berusia bawah 55 tahun akan mendapat perlindungan sewajarnya, andai ada perkara tidak diingini berlaku,” ujarnya.
Kempen Ayuh Daftar Suri@PERKESO itu berlangsung mulai 1 Oktober hingga 31 Disember ini.
Seramai 188,102 suri rumah di seluruh negara mencarum SKSSR setakat 24 September lalu.
-ZS-