
Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 10 Okt (Malaysiaaktif) – Aktif mengadakan pelbagai aktiviti dan program bersama agensi kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjadikan Perpustakaan Desa (PNM) Bukit Tok Ris, di sini dekat di hati rakyat.
Penyelia Zon 6, Perpustakaan Desa Bukit Tok Ris, Intan Diana Mohd Zaman, ketika ditemui semalam, berkata PNM di bawah seliaannya menjalankan pelbagai aktiviti dan program yang bersifat kemasyarakatan.
“Antara pengisian program pada kali ini, penglibatan agensi swasta seperti pemeriksaan mata percuma kepada masyarakat setempat.
“Sebelum ini kami telah menjemput wakil daripada Jabatan Penerangan (JaPen), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Persatuan Wanita Prihatian Negeri Terengganu bagi memberikan taklimat dan melaksanakan program bagi memberikan perkhidmatan dan kepakaran agensi-agensi tersebut untuk membantu masyarakat di sini,” ujarnya.
Peserta program Nurul Amanina Yaacob, 17, berkata hampir setiap bulan beliau hadir ke Pustaka Desa Tok Ris untuk menghadiri pelbagai program dan aktiviti yang bermanfaat.
“Program sambutan kemerdekaan dan pertandingan yang dianjurkan. Pelbagai manfaat dan ilmu baru ketahui seperti info terkini dan perkhidmatan percuma yang disediakan di perpustakaan ini,” katanya.
Perpustakaan Desa merupakan satu langkah awal yang diambil oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dalam usaha pihak kerajaan membangunkan sebuah pusat maklumat yang berorentasikan sumber teknologi maklumat terkini seperti penggunaan Internet dan perkhidmatan mencetak, sumber rujukan dan aktiviti.
-ZS-