Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Senyuman Menawan Bermula daripada Gigi dan Mulut yang Sihat

By 25 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Nurul Ain Johari (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Senyuman yang manis menawan sentiasa menjadi idaman setiap individu. Namun, untuk memiliki senyuman sebegini faktor paling utama pastilah mengambil berat dalam penjagaan mulut dan gigi.

Menurut Timbalan Pengarah Kesihatan Pergigian Negeri Johor Dr. Sabrina Julia Mohd Jeffry, kanak-kanak umpama kain putih dan ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting agar kebersihan mulut anak-anak terjaga serta dapat mencegah daripada kerosakan gigi dan penyakit gusi.

“Data kajian kesihatan mulut kebangsaan menunjukkan tujuh daripada sepuluh kanak-kanak prasekolah berumur enam tahun mengalami masalah kerosakan gigi (karies) pada gigi susu.

“Peranan ibu bapa, penglibatan guru juga sangat penting dalam aktiviti kesihatan pergigian di sekolah dan mengukuhkan peranan pengamal pergigian dapat meningkatkan kesihatan mulut kanak-kanak prasekolah, serta amalan pencegahan di rumah dalam rutin seharian juga digalakkan,” katanya.

Seramai 300 orang kanak-kanak, ibu bapa dan penjaga telah menghadiri program ‘Johor Toddler Oral Health Festival’ anjuran Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Batu Pahat dan Bahagian Kesihatan Pergigian Johor yang diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Batu Pahat, di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon, berkata ibu bapa perlu memastikan penjagaan gigi kanak-kanak yang mana harus dilakukan setiap hari secara berterusan bagi mengelakkan masalah kerosakan gigi.

“Ibu bapa digalakkan untuk memberus gigi bersama anak-anak kecil agar dapat memantau aktiviti mereka memberus gigi dan memberi galakan secara berterusan untuk meneruskan rutin harian yang positif serta dengan mengurangkan pengambilan makanan dan minuman bergula juga sangat digalakkan kerana gigi yang sihat, senyuman pun menawan,” ujarnya.

Turut hadir wakil rasmi Pegawai Daerah Batu Pahat Mohd Faiz Azman, Penyelia Taska Negeri Johor Norfaizah Abdul Hamid dan Pegawai Pergigian Daerah Batu Pahat Azhani Ismail.

-ZS-

Tinggalkan komen anda