Laporan/foto: Kartini Abdul Aziz (Muallim)/Unit Korporat SUK Perak
BEHRANG, 3 Okt (Malaysiaaktif) – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Balai Cerap Tan Sri Harussani, Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Datuk Seri Huang Tiong Sii dan Pengarah INSTUN Khairin Nazry Karim.
Acara dimulakan dengan lagu kebesaran Negeri Perak dan diikuti dengan alunan bacaan al-Quran sebelum baginda kemudiannya berkenan menyempurnakan lafaz perasmian Kompleks INSTUN dan Balai Cerap Tan Sri Harussani.
Balai cerap ini mengambil nama sempena tokoh kelahiran Negeri Perak yang juga Mufti Perak kelapan iaitu Allahyarham Tan Sri Dr. Harussani Zakaria.
Balai Cerap Tan Sri Harussani dibina di atas tapak seluas 9621.69 meter persegi dengan menelan belanja RM7,086,786 sementara reka bentuk bumbungnya diinspirasi daripada rekaan bumbung Scottish Dark Sky Obervatory di Scotland.
Terdapat lima tumpuan utama balai ini iaitu dataran cerap, kubah, ‘roll of roof’, auditorium dan galeri yang memaparkan sejarah serta tokoh ahli falak dan astronomi.
-ZS-