Laporan/foto: Melanie Marcellina J Kinjawan/Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (Sabah)
BELURAN, 3 Okt (Malaysiaaktif) – Program Kasih dan Kongsi: Kem Nutrisi Kanak-Kanak mampu memberi pendedahan mengenai kepentingan makanan yang bernutrisi kepada kanak-kanak.
Menurut Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk James Ratib, jalinan kerjasama dan perkongsian sumber antara sektor kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) amat penting untuk meningkatkan impak dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat secara berterusan.
“Pemakanan yang sihat dan seimbang untuk bayi dan kanak-kanak merupakan alternatif terbaik dalam memerangi kemiskinan,” katanya ketika merasmikan program tersebut, di sini pada Ahad.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan) Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Raykat (KPMKR) Sabah, Walter Joseph Kenson.
Program anjuran Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) dengan kerjasama rakan strategik MPMS iaitu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melibatkan aktiviti pemberian pek makanan bernutrisi kepada kanak-kanak daripada keluarga golongan B40.
Untuk rekod, seramai 1,400 peserta terdiri daripada kanak-kanak, ibu bapa dan guru di daerah ini terlibat dalam program yang berlangsung pada 30 September hingga 1 Oktober.
Pelbagai aktiviti diadakan antaranya derma darah, perkhidmatan saringan kesihatan, pemeriksaan gigi, ceramah kesihatan serta sesi interaktif Kenali Makanan Sihat dan Tidak Sihat.
Turut hadir, Pengarah Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah merangkap Pengerusi Pengurusan MPMS Jais Asri, Pegawai Daerah Beluran Roger Appolonius, Ketua Penolong Pengarah Kanan Pemakanan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Sharulnaz Norhazli Nazri, Pegawai Kesihatan Kawasan Beluran, Dr Jackson Wong dan Setiausaha Eksekutif Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah Joeanne Lee.
-ZS-