Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Kedai Selera Tujuh Banting Tumpuan Warga Kuala Langat

By 1 November 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Amat Satem Timun (Kuala Langat)

BANTING, 1 Nov (Malaysiaaktif) – Kedai Selera Tujuh Banting sering menjadi tumpuan warga Kuala Langat untuk menikmati makan tengah hari ataupun sarapan pagi.

Terletak di Jalan Persiaran Majlis berhadapan pejabat Majlis Perbandaran Kuala Langat, kedai ini menyajikan pelbagai menu masakan kampung antaranya keli masak cekur, keli sambal, ayam kurma, nasi ambeng dan pelbagai juadah lain.

Menu sarapan pagi pula seperti nasi lemak, soto, mee kari, ubi rebus dan lempeng dijual dengan harga yang berpatutan untuk dinikmati pengunjung.

Menurut pengurusnya Mohamad Anaz Borhanodin, 39, atau lebih dikenali dengan panggilan Anaz, kedai tersebut dibuka setiap hari dari pukul 7.00 pagi hingga 4.00 petang.

“Kami telah beroperasi sejak 20 tahun lalu serta mempunyai beberapa cawangan di Banting Baru dan Kampung Sungai Buaya yang turut menyajikan menu yang sama.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah menjamu selera di kedai kami pada awal bulan Mei lepas sebelum beliau menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Kanchong Darat,” katanya di sini baru-baru ini.

Seorang pelanggan, Mohd. Ali, 63, berkata beliau kerap menjamu selera di kedai ini kerana mempunyai pelbagai pilihan menu.

“Kedai ini menyediakan pelbagai pilihan masakan kampung, rasanya yang sedap di samping harganya yang berpatutan menjadi pendorong kepada saya dan keluarga untuk menjamu selera di sini,” katanya.

Kedai Selera Tujuh Banting juga menyediakan khidmat katering untuk majlis-majlis keramaian terutamanya untuk majlis perkahwinan di sekitar Banting.

-ZS-

Tinggalkan komen anda