Laporan/foto: Rebecca Edward/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 28 Nov (Malaysiaaktif) – Pertandingan Akhir Sketsa Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2023 berlangsung serentak dan disiarkan secara langsung di Facebook (FB) Jabatan Penerangan (JaPen) negeri yang terlibat, semalam.
Negeri Perak yang turut beraksi di pentas akhir ini di Auditorium RTM Perak, di sini diwakili oleh kumpulan Teduhan Kasih di Pasir Puteh (TKDPP) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Pasir Puteh, Ipoh dengan sketsa bertajuk ‘Syampu Oh Syampu’.
Pengarah JaPen Perak Yosri Abu Mahsin, berkata banyak maklumat yang menjurus ke arah memperkasakan aspek Rukun Negara dan gagasan Malaysia Madani dibawa dalam sketsa yang dipersembahkan oleh peserta.
“Disebabkan pemarkahan adalah berdasarkan kepada penilaian juri sebanyak 80 peratus dan jumlah ‘Like’ FB sebanyak 20 peratus maka marilah kita sama-sama ‘Like’ dan ‘Share’ video persembahan ini di Facebook Penerangan Perak Page sehingga 4 Disember nanti,” ujarnya ketika berucap.
Sementara itu, peserta Che Muhammad Mustaqim Mustafa, 17, berasa lega dan berpuas hati sebaik selesai membuat persembahan.
“Ini merupakan tahun terakhir saya di sekolah dan pastinya ia menjadi kenangan indah buat saya dan rakan-rakan.
“Saya ingin berpesan kepada adik-adik di Kelab Malaysiaku untuk terus melibatkan diri secara aktif dan ambil peluang bagi mengetengahkan bakat yang ada,” ujarnya.
Seorang lagi peserta, Nur Darin Haziqah Helmizalman, 16, berkata pelbagai cabaran dihadapi namun ilmu yang diperoleh dan kenangan berlatih bersama rakan-rakan menjadikan ia satu pengalaman yang cukup indah.
“Kalah atau menang adat pertandingan. Sejujurnya besar harapan kami untuk memenangi pertandingan ini. Walaubagaimanapun, segalanya bergantung kepada rezeki,” ulasnya.
Selain Perak, negeri-negeri yang turut bertanding di pertingkat akhir ialah Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Melaka, Pulau Pinang, dan Wilayah Persekutuan Labuan.
-ZS-