Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Masyarakat Perlu Peka Keadaan Sekeliling, Bantu Kekal Kesihatan Mental

By 9 November 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh 

TANAH MERAH, 9 Nov (Malaysiaaktif) – Perasaan ingin bunuh diri bagi menyelesaikan masalah adalah fenomena baru dalam kalangan masyarakat. Ianya berkait rapat dengan masalah kesihatan mental dan jika tidak dirawat individu yang mengalami gejala ini akan bertindak di luar dugaan.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr. Zaini Husin, isu kesihatan mental adalah perubahan pandemik senyap dan wajar dirawat segera.

“Orang-orang terdekat seperti ibu bapa, guru-guru dan kawan-kawan rapat perlu peka situasi semasa dan mengambil tahu apabila ada perubahan pada seseorang.

“Mungkin meraka mengalami masalah gangguan mental dan fikiran berkecamuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Pencegahan Bunuh Diri Peringkat Daerah Tanah Merah di Klinik Kesihatan Gual Ipoh, di sini pagi tadi yang bertemakan ‘Kesihatan Mental Milik Semua, Hentikan Stigma’.

Program anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Tanah Merah dihadiri hampir 450 orang peserta.

Sementara itu seorang kakitangan Pejabat Kesihatan Bukit Bunga, Jeli Wan Hasanah Wan Muhammad, 45, berkata program hari ini amat berfaedah dan bermakna bagi meningkatkan kesedaran kepada masyarakat.

“Kalau kita lihat seseorang itu murung dan senyap, jangan anggap dia gila, mungkin ada masalah.

“Lebih baik kita bertanya dan cuba menyelesaikannya dan beri kata-kata semangat,” kata ibu kepada dua orang cahaya mata ketika ditemui.

Warga emas Ismail Daud, 69, dari Komuniti Sihat Kampung Bukit Kechik, berkata program yang diadakan amat baik terutama kepada ibu bapa dan masyarakat setempat kerana memberi pendedahan kaedah mengenal pasti masalah yang ditanggung oleh anak-anak.

“Ambo (saya) amat setuju program ini diadakan dan satu pendedahan kepada mereka yang ramai ahli keluarga dan berharap program dibuat (diadakan) selalu,” katanya.

Sebelum program ini bermula kayuhan sihat sejauh 21 kilometer diadakan dengan penyertaan seramai 105 pengayuh basikal yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

Turut hadir Pegawai Kesiatan Daerah Tanah Merah Dr. Nik Aida Nik Adib.

-ZS-

Tinggalkan komen anda