Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita Tempatan

Tiada Unsur Ekstremisme Ketika Anjur Solidariti Palestin

By 20 November 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Sabah)

TAWAU, 20 Nov (Malaysiaaktif) – Penganjuran sebarang perhimpunan bertunjangkan semangat ‘Solidariti Palestin’ digalakkan oleh kerajaan negeri namun harus dilaksanakan dengan cara yang betul dan aman.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Solidariti Palestin itu perlu dilaksanakan dengan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Jelasnya, pihak penganjur Solidariti Palestin diingatkan supaya tidak membawa unsur ekstremisme dan vandelisme yang mengundang kepada tindakan tidak bertanggungjawab seperti merosakkan kemudahan awam di daerah terlibat.

“Ia bertujuan mendidik rakyat di negeri ini dengan nilai-nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi kemanusiaan, keamanan dan kedamaian sejagat. Justeru, perkara paling penting adalah kesatuan dan keprihatinan kita terhadap rakyat Palestin yang telah ditindas oleh Zionis Israel.

“Saya memohon kepada seluruh rakyat dapat mengekalkan perpaduan dan menghormati kepelbagaian kaum serta agama di negeri ini. Kerajaan negeri sentiasa menyokong setiap program-program yang dapat menyatukan semua kaum dan agama di negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Program Solidariti Palestin anjuran Ketua Cawangan Enam Serangkai DUN Apas, di sini pada Ahad.

Menurutnya lagi, penganjuran ini diharap dapat membuka mata masyarakat di seluruh dunia bahawa bumi Tawau khususnya di kawasan Apas juga mengecam tindakan kekejaman Zionis Israel terhadap Palestin.

“Perbuatan Zionis Israel sudah keterlaluan kerana melanggar nilai kemanusiaan dengan membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa terutamanya wanita dan kanak-kanak.

“Saya berharap dengan kesatuan dan doa kita yang hadir hari ini dapat menghentikan tindakan puak Zionis Israel serta membantu Palestin mencapai kemerdekaan, kita juga perlu sentiasa mengekalkan perpaduan dan bersyukur dengan nikmat keamanan yang sedang dikecapi ketika ini,” ujarnya lanjut.

Untuk makluman, program Solidariti Palestin di Masjid Al Kauthar Tawau ini telah dihadiri hampir 500 orang peserta yang turut diimarahkan dengan bacaan Ayat Yasin, Qunut Nazila, nyanyian nasyid dan ceramah khas.

-ZS-

Tinggalkan komen anda