Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Tindakan Pantas LUAS Halang Pencemaran Sungai Kampung Rinching

By 1 November 2023Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SHAH ALAM, 1 Nov (Malaysiaaktif) – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bertindak segera mengesan dan menghentikan pencemaran di Sungai Kecil Kampung Rinching, Kajang selepas menerima maklumat semalam.
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin, berkata siasatan LUAS mendapati insiden itu disebabkan pelepasan ‘efluen’ berbuih daripada premis pemprosesan makanan ke dalam longkang berhampiran.

“Sebuah premis pemprosesan makanan disyaki telah melepaskan ‘efluen’ berbuih berdasarkan kesan buih berwarna putih yang dijumpai di luar kawasan premis tersebut dan berbau seakan-akan rebusan cendawan.

“LUAS telah segera mengarahkan premis berkenaan untuk menghentikan sebarang aktiviti yang menggunakan air dan pelepasan efluen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Jamaliah, anggaran jarak lokasi punca pencemaran ini ke loji rawatan air (LRA) terhampir iaitu LRA Semenyih adalah 15 kilometer.

“Pihak JAS juga telah mengeluarkan arahan henti kerja kepada premis terlibat.

“Kesan tindakan pantas dan bersepadu agensi penguatkuasaan negeri telah berjaya memastikan tiada risiko terhadap operasi LRA,” jelasnya.

Katanya, LUAS membuka kertas siasatan berdasarkan Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM 1 juta serta mandatori penjara tidak kurang tiga tahun jika disabitkan kesalahan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda