
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 1 Nov (Malaysiaaktif) – Tidak berlaku kenaikan harga ayam segar sekitar Selayang susulan penamatan subsidi dan harga kawalan bermula hari ini seperti diumumkan kerajaan.
Tinjauan mendapati peniaga menjual pada harga antara RM8.40 hingga RM9.40 sekilogram. Peniaga juga tidak mengenakan caj perkhidmatan seperti sebelum ini untuk menampung kos mereka.
Seorang peniaga, Bukhari Yaakob, 68, berkata harga ayam yang dijualnya lebih rendah iaitu RM8.40 sekilogram berbanding RM8.70 semalam.
Menurutnya, harga tersebut juga lebih rendah berbanding harga siling ditetapkan kerajaan sebelum ini iaitu RM9.40 sekilogram disebabkan memperoleh harga rendah daripada pembekal.
“Ketika ini bekalan ayam mencukupi dan harga yang ditetapkan pembekal lebih rendah berbanding sebelum ini.
“Pada bulan Oktober berlaku tiga kali penurunan harga,” katanya yang telah berniaga lebih 35 tahun di Selayang Indah.
Peniaga Pasar Tani Kekal Selayang, Haipal Mat Tabii, 39, berkata, penamatan subsidi dan kawalan harga ayam oleh kerajaan tidak menyebabkan kenaikan harga mendadak disebabkan tidak berlaku isu bekalan ketika ini.
“Saya dimaklumkan bekalan ayam sudah stabil sejak dua bulan lalu,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Mohd Zizol Abu Hassan, 60, berkata, dia menjual ayam dengan RM9 berbanding RM9.40 pada semalam.
“Peniaga ikut harga pembekal, kalau pembekal bagi harga murah maka kita jual murah,” jelas beliau yang berniaga di Pasar Harian Selayang.
Pada Isnin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan Kerajaan menamatkan subsidi dan harga kawalan bagi ayam sepenuhnya bermula 1 November.
Katanya, penamatan berkenaan selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa.
-ZS-