Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

MyDigital ID: Kurangkan Risiko Penipuan Identiti Dalam Talian

By 21 Disember 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/Shaharuddin Ahmad (Kementerian Komunikasi)

PUTRAJAYA, 21 Dis (Malaysiaaktif) – Kerajaan akan melaksanakan penggunaan MyDigital ID iaitu inisiatif sistem pengenalan diri dalam talian bermula pada Mac 2024 yang antaranya bertujuan mengurangkan risiko penipuan identiti dalam talian dan dapat menghapuskan pertindihan data identiti serta pengesahan diri yang tepat dan dipercayai.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata My Digital ID merupakan ‘Single sign-on’ id yang memerlukan hanya sekali pendaftaran bagi menggantikan pelbagai aplikasi yang didirikan oleh kerajaan, kementerian dan bank.

“Sekarang ini adalah proses untuk mendaftarkan semua 1.6 juta penjawat awam. Kita minta semua penjawat awam untuk mendaftar,” katanya.

Katanya lagi, pendigitalan perkhidmatan kerajaan penting untuk menunjukkan bahawa sektor awam bersedia mengadaptasi dan menggunakan teknologi-teknologi baharu supaya dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan lebih mudah kepada rakyat.

Fahmi berkata demikian ketika meninjau pelaksanaan Program Pendaftaran MyDigital ID warga Kementerian Komunikasi yang diadakan dengan kerjasama MIMOS Berhad, di sini hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Komunikasi, penggunaan MyDigital ID tidak akan menggantikan penggunaan MyKad dan tidak menyimpan data biometrik seperti cap jari, iris atau mata serta pengecaman wajah.

“Selain menekankan aspek keselamatan dan mempunyai ciri keselamatan yang tinggi, kelebihan penggunaan MyDigital ID adalah ianya lebih pantas dan mudah bagi tujuan transaksi dalam talian serta memberikan kemudahan log masuk tunggal untuk pelbagai aplikasi.

“Pengguna tidak boleh mempunyai lebih daripada satu identiti digital. Kelebihan lainnya adalah dapat mengawal data dan pergerakan pengguna secara digital menggantikan MyKad sebagai bukti pengenalan, tidak mendedahkan data peribadi secara terbuka serta menyimpan pangkalan data peribadi pengguna,” menurut kenyataan tersebut.

-RI

Tinggalkan komen anda