Laporan/foto: Zayana Isa (Pahang)
KUANTAN, 8 Dis (Malaysiaaktif) – Penerima eMADANI yang diluluskan permohonannya amat menghargai dan akan memanfaatkan pemberian ini sebaiknya.
Suri rumah Fadzillah Wahab, 56, berkata pemberian eMADANI terutama bagi suri rumah sepertinya amat bermakna.
“Terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan atas pemberian ini kerana ia sangat bermakna buat golongan seperti kami,” ujarnya ketika ditemui hari ini.
Tambahnya lagi, RM100 ini besar nilainya bagi beliau dan sekurang-kurangnya pemberian ini dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan harian seperti beras dan telur.
Bagi seorang ibu tunggal Zaharah Che Ngah, 61, permohonan eMADANI yang diluluskan sangat membantu dirinya.
“Saya ibu tunggal, jadi pemberian ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban,” katanya yang meminta bantuan rakan untuk menguruskan permohonan eMADANI beliau.
Tempoh pendaftaran serta tuntutan eMADANI hanya boleh dibuat sekali bagi setiap pemohon yang layak mulai 4 Disember 2023 hingga 20 Februari 2024 manakala kredit eMADANI serta manfaat penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat boleh dibelanjakan sehingga 29 Februari 2024.
-ZS-