Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah
ARAU, 13 Dis (Malaysiaaktif) – Pengusaha Kafeteria Kesinai UiTM Arau menyambut baik Menu Siswa Rahmah yang diumumkan oleh pihak kerajaan.
Semalam, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan Menu Siswa Rahmah pada harga RM3.50 per hidangan dengan tujuan utama membantu meringankan beban kos sara hidup mahasiswa di institusi pengajian tinggi.
Dalam pengumuman tersebut, KPT dengan kerjasama pihak pengurusan Universiti Awam (UA) dan kafeteria atau penyedia perkhidmatan makanan memperkenalkan hidangan makanan dengan harga patut iaitu RM3.50 per hidangan dengan tidak mengenepikan keperluan nutrisi asas dan komposisi kepelbagaian kaum mahasiswa di UA.
Menurut pemilik bersama Kafeteria Kesinai UiTM Arau, Ellysa Susyida, 30 menyatakan sebelum ini kafeteria telah menyertai Menu Makanan Jualan Rahmah pada nilai RM4.90.
“Sekiranya perlu kafeteria Kesinai menyertai, seperti hasrat yang ingin diteruskan oleh kerajaan seperti sebelum ini, ibu saudara saya (pemilik kafeteria) akan memberi dokongan sepenuhnya bagi usaha murni kerajaan tersebut.
“Sekiranya diteruskan Menu Siswa Rahmah ini di kafeteria kami ini, insya-Allah ibu saudara saya akan menyahut niat murni ini,” katanya.
Katanya lagi, Menu Rahmah Siswa sebelum ini menyajikan menu-menu yang paling digemari oleh golongan belia seperti ayam dan daging dan bertukar-bertukar menu masakan supaya pelajar tidak jemu.
“Pihak kami sangat berbesar hati dalam membantu para mahasiswa ini.
“Kami juga akan menyarankan kepada gerai-gerai jualan yang berada di Kafeteria Kesinai ini turut sama menyertainya,” ujarnya ketika ditemui pagi tadi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau.
-ZS-