Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Wanita Angkat Seni Pembuatan Wau

By 28 Disember 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Perak)/Nor Asmah Daud

IPOH, 28 Dis (Malaysiaaktif) – Minat mendalam terhadap seni pembuatan wau membuatkan wanita ini gigih mengangkat martabat kesenian permainan tradisional Melayu ini agar tidak lapuk ditelan zaman.
Nor Asmah Daud, 48, anak jati Ipoh telah mula berkecimpung dalam pembuatan wau sejak lebih 15 tahun lalu dan merupakan wanita tunggal pembuat wau di negara ini.

“Saya memenuhi jemputan ke festival atau program yang dianjurkan oleh jabatan demi mempromosikan kesenian wau terutama wau negeri Perak yang dikenali sebagai Wau Seri Bulan.

“Orang ramai khususnya generasi muda perlu mengenali wau seri bulan yang menjadi kebanggaan negeri ini memandangkan setiap negeri mempunyai keunikan wau tersendiri,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Menurut Nor Asmah, Wau Seri Bulan boleh dikenali berdasarkan warna bendera negeri Perak iaitu putih, kuning dan hitam selain coraknya lebih banyak berunsurkan Islam.

“Saya berharap lebih banyak pihak seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat bersama-sama membantu mengangkat seni pembuatan wau kerana kita amat memerlukan pelapis yang dapat meneruskan tradisi ini,” tambahnya.

Nor Asmah giat mempromosikan seni pembuatan wau biarpun sekadar beroperasi dari rumahnya di Bercham. Dia juga sentiasa mengalu-alukan kehadiran anak muda untuk datang mempelajari ilmu pembuatan wau dengannya.
Mereka yang berminat boleh terus menghubunginya di talian 011 51919105.

-ZS-

 

Tinggalkan komen anda