Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

‘Kepala Batas Dihatiku’ Gerbang Mercu Tanda Kepala Batas

By 30 Januari 2024Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abd Aziz Osman/Mohd Ridhuan Fadhil (Seberang Perai Utara)

KEPALA BATAS, 30 Jan (Malaysiaaktif) – Gerbang ‘Kepala Batas Dihatiku’ kini tersergam indah menyambut semua pengunjung ke Kepala Batas.

Mercu tanda yang terletak di Jalan Hamdan Sheikh Tahir yang merupakan cetusan idea Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai Datuk Azhar Arshad sudah pasti memberi nilai tambah landskap Parlimen Kepala Batas.

Reka bentuk gerbang yang minima dan melengkung dilihat menarik dengan garisan imej jambatan Pulau Pinang di tengah-tengahnya serta dihiasi dengan lampu solar diod pemancar cahaya (LED) bagi menjaga kelestarian alam.

Kos keseluruhan pembinaan pintu gerbang ini bernilai RM1.04 juta di mana RM1 Juta merupakan peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) manakala selebihnya ditanggung oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai.

Reezal Merican dalam ucapannya, berkata pintu gerbang ini dibina sebagai simbol kebanggaan setelah pelbagai pembangunan dikecapi di Kepala Batas kini berbanding awal tahun 90-an yang hanya merupakan kawasan ladang.

“Kawasan Kepala Batas kini pesat dengan pembanggunan prasarana di samping tidak meninggalkan aspek kerohanian, secara tak langsung ianya bagi menyambut pengunjung yang datang ke Kepala Batas.

“Kini, penduduk Kepala Batas boleh berbangga kerana menjadi antara kawasan pilihan untuk bermastautin serta berdaya huni tinggi”, katanya.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kuan Yeow merasmikan majlis.

-ZS-

Tinggalkan komen anda