Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

#PADU: Kaunter PADU di UTC Perlis Sedia Bantu Rakyat

By 11 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat

KANGAR, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Kaunter pendaftaran dan pengemaskinian Pangkalan Data Utama (PADU) Jabatan Perangkaan (DOSM) Negeri Perlis di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perlis yang bermula pada hari ini dilihat mendapat perhatian dan maklum balas positif daripada masyarakat.

Pembukaan kaunter fizikal yang baru beroperasi itu setakat pukul 11.00 pagi tadi telah membantu mendaftar seramai 30 orang awam.

Menurut pesara guru, Rusli Saad, 71, beliau mengetahui berkenaan kaunter berkenaan menerusi media sosial dan hadir bersama isterinya.

“Usah tunggu dan lihat untuk mengisi maklumat PADU ini.

“Pada pandangan saya, usaha kerajaan ini pasti untuk memudahkan rakyat dan memberi manfaat kepada kita pada masa hadapan,” ujarnya ketika ditemui sedang beratur menunggu giliran.

“UTC Perlis ini terletak di tempat tumpuan awam dan lokasi yang strategik dilihat memudahkan kami untuk hadir mendaftar,” ujar Patimah Mat, 74, yang hadir bersama dua saudaranya dari Kampung Jejawi Dalam.

“Pembukaan kaunter fizikal sebegini sangat membantu masyarakat terutamanya warga emas seperti kami dan orang kampung yang tidak cekap menggunakan komputer bagi urusan pendaftaran PADU ini,” katanya.

Menurut Pengurus UTC Perlis Hishamudin Syafie, penyediaan tempat meletak kereta dan juga kiosk makanan memudahkan dan memberi keselesaan kepada pelanggan ketika menunggu giliran untuk berurusan di UTC.

Waktu operasi di UTC Perlis adalah pada waktu pejabat iaitu Isnin sehingga Jumaat bermula pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang.

Waktu rehat pada hari Isnin hingga Khamis ialah dari pukul 1.00 sehingga 2.00 petang dan pada hari Jumaat bermula 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang.

-ZS-

Tinggalkan komen anda