Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

#PADU: Mudah dan Cepat di PEDi

By 11 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 11 Jan (Malaysiaktif) – Rata-rata penduduk Perlis yang telah selesai mendaftar dan mengisi maklumat di laman web Pengkalan Data Utama atau singkatannya PADU mengakui ia hanyalah satu proses pengisian maklumat individu yang mudah dan pantas terutama di Pusat Ekonomi Digital (PEDi).

Seorang penduduk di Pangsapuri Sena, Zaleha Din, 63, berkata pada mulanya beliau sedikit bimbang untuk mengisi maklumatsi Sistem PADU ini kerana tidak mahir menggunakan komputer.

“Apabila saya datang ke PEDi PPR Sena ini proses pengisian maklumat saya sebenarnya mudah sahaja, ditambah pula saya dibantu oleh pegawai daripada Jabatan Perangkaan Negeri Perlis dan pegawai PEDi yang bertugas.

“Saya cuma perlu membawa maklumat peribadi seperti MyKad dan akan dibantu ketika mengisi maklumat,” ujarnya.

Menurut Pengurus PEDi PPR Sena, Zaidah Afifah Darus pihaknya akan cuba membantu dan memberi tunjuk ajar kepada penduduk di kawasan ini untuk mengisi maklumat PADU.

“Dengan kelajuan internet di PEDi, segala maklumat dapat diisi secara pantas.

“Sambutan para penduduk amat mengalakkan,” ujarnya.

Pengarah Jabatan Perangkaan Negeri Perlis Hamka Ismail  yang ditemui di PEDi Rimba Mas kelmarin, berkata kaunter pengisian PADU ini dibuka di 14 PEDi di sekitar Perlis bertujuan memudahkan orang ramai mengisi maklumat dan akan dibantu oleh pegawai Jabatan Perangkaan dan Pengurus PEDi yang bertugas mengikut jadual.

“Kami juga bercadang akan mewujudkan unit bergerak untuk masuk ke kampung-kampung bagi mengisi maklumat PADU kepada penduduk yang mempunyai masalah kesihatan,” ujarnya.

Pesara kerajaan Norizan Bakar, 62, dari Kampung Sungai Baru, Simpang Empat, di sini, berkata beliau datang ke PEDi Batas Lintang kerana takut melakukan kesilapan mengisi maklumat di telefon bimbit.

“Di sini terdapat pegawai daripada Jabatan Perangkaan dan Pengurus PEDi.

“Mereka akan membetulkan segera jika saya tersilap dan tidak sampai 10 minit segala maklumat saya telah siap diisi,” jelasnya.

Menurut pegawai daripada Jabatan Perangkaan Negeri Perlis Afifa Mat Ros, pihaknya akan sentiasa membantu memudahkan masyarakat terutamanya warga emas yang datang kerana kebanyakan mereka tidak mahir mengisi borang menggunakan komputer.

-ZS-

Tinggalkan komen anda