Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Penduduk Bersyukur Terlepas Bencana Banjir

By 8 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin/Don Mahathir (Istana Pahang)

PEKAN, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 12 keluarga asnaf di Kampung Temai Hulu yang menerima sumbangan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah yang dikurniakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada Oktober tahun lalu meluahkan rasa syukur dan gembira kerana mereka tidak lagi ditimpa musibah banjir seperti yang sering dihadapi mereka sejak 20 tahun lalu ketika menetap di rumah lama PPRT Desa Al-Ayubi sebelum ini.

Menurut Ketua Kampung Temai Hulu Haji Ali Omar, setiap tahun beliau bersama penduduk kampung terpaksa memindahkan 12 keluarga asnaf ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang berhampiran.

“Pada musim tengkujuh kali ini perkara itu tidak lagi berlaku memandangkan kawasan rumah baharu, Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah tidak dinaiki air walaupun beberapa kawasan sekitar Kampung Temai telah dilanda banjir,” katanya semalam.

Seorang penduduk Ema Sari Junid, 42, berkata rumah batu bertiang ini juga dilihat cukup selesa untuk didiami beliau dan keluarga.

“Alhamdulillah, saya rasa syukur dengan kehidupannya hari ini kerana tidak lagi berdepan dengan bencana banjir,” ujarnya yang ingin mengucapkan terima kasih sekiranya Seri Paduka Baginda berangkat ke Kampung Temai suatu hari nanti.

Sebanyak RM12.175 juta diperuntukkan Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dibiayai Pertubuhan Bulan Sabit Merah UAE untuk membina 123 buah rumah iaitu Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah melibatkan tujuh daerah di negeri Pahang untuk mangsa yang terjejas banjir termasuk 12 buah untuk golongan asnaf Kampung Temai Hulu ini.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda