Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal
JOHOR BAHRU, 8 Jan (Malaysiaaktif) – Tiga sekolah di daerah Johor Bahru ditutup hari ini akibat ditenggelami banjir sejak semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor Norliza Noh, berkata sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara, Sekolah Kebangsaan Sungai Tiram dan Sekolah Kebangsaan Kampung Maju Jaya masing-masing di Tebrau.
“Hari ini seramai 48,276 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menduduki peperiksaan SPM iaitu Ujian Lisan dan diikuti dengan Ujian Bertulis hingga 7 Mac akan datang namun setakat ini tiada calon yang tersangkut akibat banjir,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr. Azmi Rohani, berkata jumlah mangsa banjir di daerah Johor Bahru seramai 1,829 mangsa daripada 503 keluarga ditempatkan di 10 Pusat Penempatan Sementara (PPS) setakat pukul 12.00 tengah hari tadi.
“Situasi banjir di Johor semakin buruk apabila jumlah mangsa banjir naik kepada 6,564 orang daripada 1,819 keluarga yang ditempatkan di 51 PPS di enam daerah yang terjejas,” katanya menerusi kenyataan pagi tadi.
-ZS-