Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Terima Kasih Tok Wan!

By 20 Januari 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azrul Azham/Mohd Afiq

JERANTUT, 19 Jan (Malaysiaaktif) – Rakyat negeri Pahang terus dibela dengan Inisiatif Kerajaan Pahang yang menawarkan pemilikan tanah di bawah Skim Tanah Rakyat (STR).

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri sudah lakukan yang terbaik untuk rakyat meliputi pelbagai bentuk pembangunan, inisiatif dan juga bantuan.

“Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu FELDA merupakan sumbangan terbesar Datuk Haji Nazri Ngah iaitu mantan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, serta mantan ADUN Pulau Tawar bagi penggal yang lalu, bagi membantu generasi baharu FELDA memiliki tanah sendiri untuk kediaman,” ujarnya.

“Sehingga kini seramai 40,861 daripada 43,126 peneroka FELDA di Negeri Pahang telah pun menerima Suratan Hakmilik.

“Jagalah hak milik tanah ini dengan sebaik-baiknya dan janganlah dijual kepada mana-mana pihak semata-mata mahu memperoleh keuntungan segera yang akhirnya akan merugikan” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kelulusan Skim Tanah Rakyat (STR) Generasi Baharu FELDA dan Suratan Hak Milik FELDA Jengka 24 serta FELCRA Bukit Nikmat yang diadakan di Perkarangan Masjid Felda Jengka 24 di sini, hari ini.

Berkongsi rasa bersyukur, Satirah Manaf, 56, dari Felda Kota Gelanggi 1, mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri Pahang terutama Menteri Besar dan juga mantan Ahli Dewan Negeri Pulau Tawar kerana usaha untuk menerima STR ini telah berjaya direalisasikan.

Sempena majlis itu seramai 292 peneroka Felda Jengka 24 dan 159 peserta Felcra Bukit Nikmat 1 dan Felcra Bukit Nikmat 2 telah menerima suratan hak milik.

Selain itu Kerajaan Negeri turut menyerahkan Notis Borang 5A STR bagi tujuan pembinaan rumah melibatkan tujuh kelompok peserta generasi baharu Felda iaitu di FELDA Jengka 24 seramai 361 orang, FELDA Lepar Utara seramai 262 orang, FELDA Kota Gelanggi 1 dengan jumlah peserta seramai 226 orang, FELDA Kota Gelanggi 2 seramai 208 orang, FELDA Kota Gelanggi 4 pula seramai 133 orang, FELDA Sungai Tekam Seramai 412 orang dan FELDA Sungai Tekam Utara seramai 236 orang.

Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi FELDA, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Speaker Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Exco FELDA, Koperasi Dan Usahawan Negeri Pahang, YB Tuan IR Razali Kassim, ketua-ketua jabatan dan juga pemimpin masyarakat setempat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda