
Laporan /foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat
KANGAR, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai 40 ribu pelajar di negeri Perlis menerima manfaat Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bernilai lebih RM6 juta.
“Sejumlah RM6,012,450 BAP kepada seluruh murid di negeri Perlis telah dan akan diagihkan kecuali bagi murid darjah satu yang akan menerima ketika masuk sesi persekolahan 2024/2025 pada bulan Mac nanti.
“Diharapkan dengan BAP ini tiada murid yang tercicir daripada meneruskan pembelajaran di sekolah,” ujar Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Dr. Ahmad Rafee Che Kassim ketika menyampaikan ucapan di Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan, di sini kelmarin.
Pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri pada tahun lalu memperuntukkan pemberian bantuan bernilai RM150 kepada setiap murid yang bertujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga.
BAP di negeri Perlis yang disalurkan bermula 9 Januari lalu telah selesai diserahkan kepada semua pelajar dalam tempoh 30 hari kecuali bagi pelajar darjah satu sesi 2024/2025.
-ZS-