Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Hari Terbuka Selesai Masalah Penduduk Seri Menanti

By 7 Februari 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Shazreen Suradi (Muar)

MUAR, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Program Hari Terbuka Kompleks Penghulu Mukim Seri Menanti bersama agensi dan jabatan kerajaan, di sini semalam berjaya membantu dan menyelesaikan masalah penduduk setempat dengan segera.

Penolong Pegawai Daerah Muar Ismat Salleh, berkata program bersemuka seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang agar menjadi platform pegawai kerajaan berjumpa terus dan membantu orang ramai dengan perkhidmatan yang terbaik.

“Urusan seperti cukai tanah, memperbaharui lesen kelapa sawit dan pemeriksaan kesihatan yang diadakan di sini amat memudahkan penduduk yang tidak perlu keluar untuk ke premis kerajaan selain merapatkan jurang antara orang ramai dengan penjawat awam,” katanya.

Penduduk Kampung Perit Pechah, Mohd Said Md Yaasin, 61, berkata hanya 10 minit diperlukan untuk menyelesaikan urusan di kaunter kerajaan yang dibuka pada program ini.

“Kalau pergi ke pejabat yang sesak perlu menunggu lama selain kos perjalanan dan letak kereta yang perlu dikeluarkan memandangkan jarak kampung dengan pejabat kerajaan agak jauh dan berlainan tempat,” katanya.

Program hari terbuka kali ini menyediakan pelbagai pekhidmatan mesra rakyat seperti kaunter pembayaran cukai tanah, kaunter memperbaharui Lesen Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Perkeso, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kaunter pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU).

Pejabat Penerangan Daerah Muar turut serta mengedarkan risalah Jabatan Penerangan Malaysia, potret Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor.

Lebih 300 orang penduduk di kawasan sekitar Mukim Seri Menanti hadir ke program tersebut.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda