Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Fenomena Laut Terbelah Tarikan Pelancong Ke Pulau Langkawi

By 11 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)

LANGKAWI, 11 Feb (Malaysiaaktif) – Fenomena Laut terbelah sepanjang 600 meter di Pantai Tanjung Rhu di sini telah menarik perhatian lebih tiga ribu orang pengunjung dari dalam dan luar negara sejak awal pagi ini bermula pukul 6.00 pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Haslina Abdul Hamid, berkata beliau sangat teruja pada hari ini kerana dapat menyaksikan buat pertama kali fenomena unik di mana kemunculan beting pasir sepanjang 600 meter dan air laut di kawasan itu surut sehingga 0.1 meter (m).

“Program Sandbar Walk Anjuran Tanjung Rhu Resort dengan kerjasama LADA ini telah menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar negara untuk menyaksikan dan merasai sendiri fenomena unik ini yang terjadi satu atau dua kali setahun.

“Pada tahun ini berlaku sebanyak dua kali iaitu pada hari ini bermula pukul 6.45 pagi dan esok akan berlaku pada pukul 7.30 pagi,” katanya.

Salah seorang pengunjung yang ditemui Muhammad Najib Zulkifli, 40, dari Kuantan, Pahang amat bersyukur kerana beliau sekeluarga dapat menikmati keindahan alam fenomena benting pasir sepanjang 600 meter ini.

“Saya kira sukar ditemui di tempat lain selain dapat menyaksikan hidupan laut seperti tapak sulaiman, siput kon dan lain-lain yang terdampar di atas pasir,” katanya.

“Sangat menakjubkan kerana berpeluang berjalan merentas pasir untuk ke pulau berhampiran iaitu Pulau Kelam Baya dan Pulau Chabang yang kebiasaannya perlu menaiki bot untuk sampai ke sana.

“Saya berharap acara seperti ini dapat diadakan lagi pada masa hadapan dengan cadangan agar lebih liputan kepada orang awam untuk menyertai serta diadakan pakej dan bayaran yang sesuai agar lebih ramai lagi pengunjung yang dapat menyertai acara ini pada tahun hadapan,” katanya Muhammad Khairi Azizan, 35, dari Jelebu, Negeri Sembilan.

Turut meninjau fenomena air surut ialah Pegawai Daerah Langkawi Mohamad Subhi Abdullah.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda