Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 12 Feb (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari meneruskan tradisi berkunjung ke rumah beberapa orang sahabat Tionghua di kawasan Gombak sempena Tahun Baharu Cina.
Tradisi berkenaan diamalkan sejak beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua dan Ahli Parlimen Gombak lebih 15 tahun lalu.
Amirudin ditemani isterinya, Datin Seri Masdiana Muhamad berkunjung ke rumah kenalan dan aktivis di Kemensah, Taman Melawati, Kampung Laksamana dan Selayang Baru.
“Setiap kali Tahun Baharu Cina saya akan ziarah ke rumah beberapa teman-teman sekitar kawasan Gombak yang sudah menjadi tradisi saya lebih 15 tahun lalu.
“Semoga persaudaraan bertambah erat dan keharmonian yang dipupuk menjadi kukuh di negeri Selangor dan Malaysia,” katanya ketika ditemui semalam.
Bagi Ah Lian, 52, memuji sifat ramah Amirudin dan isteri yang tidak pernah melupakan kenalannya walaupun telah menjadi Menteri Besar Selangor.
“Datuk Seri dan isteri begitu mesra dengan rakyat pelbagai bangsa, terima kasih di atas kesudian menghadiri rumah kami setiap tahun,” katanya.
-ZS-