Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Op Selamat Sempena Tahun Baru Cina Pertingkat Pengawasan

By 14 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohamad Firdaus Abd Aziz/Maisara (BERNAMA)

GUA MUSANG, 14 Feb (Malaysiaaktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Kelantan telah melancarkan Program Keberkesanan Ops Selamat bermula 8 hingga 13 Februari lalu di tiga daerah iaitu Jeli, Pasir Putih dan Gua Musang.

Program ini adalah untuk mempertingkatkan pengawasannya di lokasi kawasan panas dan kawasan hitam yang kerap berlaku kesesakan lalu lintas dan sering berlaku kemalangan yang merupakan pintu masuk utama ke Negeri Kelantan.

Ketua Polis Negeri Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, 59, berkata pihak PDRM akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan perkhidmatan menyeluruh dalam penugasan operasi Op Selamat bagi mengelakkan berlakunya kemalangan yang teruk dan kesesakan jalan raya pada waktu puncak perayaan.

“Saya menekankan etika toleransi dan kesabaran kepada setiap pemandu kereta atau motosikal untuk mengelak daripada berlaku kemalangan yang tidak diingini.

“Langkah pencegahan kes jenayah terhadap harta benda dan kediaman yang ditinggalkan sepanjang tempoh musim perayaan ini turut ditekankan kepada masyarakat awam menerusi e-borang di aplikasi Volunteer Smartphone Patrol’,” katanya semalam.

Pengguna jalan raya Farid Ahad, 42, berkata program seperti ini perlu diadakan setiap kali musim perayaan bagi mengatasi masalah kesesakan dan kemalangan.

“Selalunya di musim perayaan ini pengguna jalan raya lebih bersikap gopoh untuk segera sampai ke destinasi tanpa memikirkan keselamatan diri,” katanya

Turut hadir Ahli Parlimen Gua Musang Azizi Abu Naim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Shahbuddin, wakil Jabatan Kerja Raya, bomba dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

-ZS-

Tinggalkan komen anda