Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Pak Non: Perintis Bahulu Panas di Daerah Pendang

By 14 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Noor Azian Saad/Hafizullah Abdul Aziz (Pendang)

PENDANG, 14 Feb (Malaysiaaktif) – Hampir patah semangat untuk berniaga suatu masa dahulu, apabila bahulu jualan tidak mendapat sambutan orang ramai.

Tambahan pula, kejadian kedai jualan yang terbakar pada tahun 2014 yang menyebabkan kemusnahan 100 peratus kepada produk jualannya menyebabkan beliau hampir putus asa.

“Berkat sokongan isteri Nor Hayati Abdullah, saya mengutip semula semangat yang hilang dengan terus bangkit dan berjuang semula,” ucap Zainul.

Menurut Zainul lagi, beliau telah memulakan perniagaan bahulu dari rumahnya di Kampung Alor Pudak, di sini sejak tahun 1999.

“Bahulu yang dihasilkan pada ketika itu dihantar untuk dijual di kedai-kedai runcit, namun kurang mendapat sambutan sehingga ada kalanya menyebabkan kerugian.

“Namun, dengan menanam semangat dan cita-cita untuk membangunkan semula ekonomi, saya telah membuat inovasi terhadap resepi bahulu tersebut,” katanya.

Katanya, dengan inovasi terbaru, bahulu yang dihasilkan lebih lembut, enak dan tahan lama.

“Agensi di bawah kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah banyak membantu saya termasuklah menyediakan tapak kedai dan sebuah oven besar yang saya gunakan hingga ke hari ini,” katanya.

Kini, bahulu panas beliau yang dikenali juga dengan Bahulu Panas Pak Non, mendapat sambutan yang luar biasa sehingga mencecah RM10 ribu sehari pada hari biasa dan meningkat apabila tiba musim perayaan seperti Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha.

“Saya turut menjual pelbagai jenis kuih tradisional yang menjadi kegemaran pelbagai lapisan masyarakat serta menerima tempahan bahulu untuk buah tangan tetamu di majlis perkahwinan.

“Dengan memiliki enam orang pekerja dan empat buah oven industri, saya yakin dapat memenuhi permintaan pasaran setempat dan luar negeri,” katanya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda