Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

PEDi Pengkalan Hulu Jadi Tumpuan Penduduk Setempat

By 10 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Sazali Ab Hamid (Pengkalan Hulu)

PENGKALAN HULU, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Pengkalan Hulu, di sini menjadi tumpuan penduduk sekitar apabila beberapa agensi termasuk Tabung Haji, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut membuka kaunter bagi pelbagai urusan kemarin.

Menurut Pengurus PEDi Pengkalan Hulu Frieda Andreen Abd Rahman, PEDi menjemput agensi berkenaan untuk memudahkan urusan penduduk di kawasan ini.

“Selain datang untuk mendaftar dan mengemaskini maklumat di sistem Pangkalan Data Utama (PADU), orang ramai juga boleh berurusan dengan agensi berkenaan.

“Selepas ini, kami akan menjemput lebih banyak agensi dan badan berkanun untuk membuka kaunter di PEDi mengikut keperluan,” ujarnya.

Tambah Frieda, PEDi menjadi tumpuan sejak kerajaan melancarkan PADU terutama golongan warga emas yang kurang cekap berurusan melalui sistem dalam talian.

Sementara itu, pengunjung Khalid Ibrahim, 59, yang juga Anggota Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) melahirkan rasa puas hati berurusan di PEDi ini.

“Petugas PEDi amat berdedikasi dan membantu dalam pendaftaran PADU sehingga selesai. Ia memudahkan urusan dan menjimatkan masa,” katanya yang turut mengambil peluang mendaftar THiJARI dan khairat kematian Tabung Haji melalui kaunter yang dibuka.

Seorang lagi pengunjung, Sali Jemangin, 45, turut berkata kaunter-kaunter yang dibuka memudahkan urusan penduduk dan berharap inisiatif ini diteruskan secara berjadual.

Pihak PEDi Pengkalan Hulu menyediakan pelbagai perkhidmatan dalam talian termasuk pendaftaran SSM dan mengadakan Kursus Keusahawanan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda