Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Pengamal Media di Pahang Sambut Baik Pelancaran Kod Etika Wartawan Malaysia

By 21 Februari 2024Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zayana Isa/Japen Pahang

KUANTAN, 21 Feb (Malaysiaaktif) – Pengamal media di negeri ini menyambut baik usaha kerajaan memperkenalkan Kod Etika Wartawan Malaysia yang diluncurkan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, semalam.

Salwa Shaari, 39, dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Pahang, memberitahu pelancaran kod etika ini sedikit sebanyak dapat memupuk amalan integriti dalam kalangan pengamal media di samping dapat dijadikan panduan kepada semua pihak.

“Selama ini kami pengamal media sudah sedia mematuhi etika kewartawanan, namun dengan kod etika wartawan yang baharu ini juga mampu memberi peringatan kepada kami agar sentiasa berhati-hati untuk menulis sesuatu berita dan bukanlah hanya sekadar untuk meraih populariti dengan menggunakan tajuk sensasi sebagai umpan pembaca,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Aktif, pagi tadi.

Salwa juga memuji usaha kementerian kerana kod etika ini juga boleh diakses oleh orang ramai untuk melihat sendiri kandungan kod etika ini untuk dijadikan panduan.

Manakala Fansurina Abdullah, 40, yang bertugas sebagai wartawan di Pahang Media memberitahu dengan adanya kod etika ini, ianya sebagai garis panduan dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan telus kepada rakyat.

“Kod etika ini sekali gus dapat memperkemaskan sistem perkongsian maklumat agar kami pengamal media sentiasa berada di landasan yang betul,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda