Laporan/foto: Mohd Faizal Mansor/Media Digital Johor
PONTIAN, 13 Feb (Malaysiaaktif) – Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) sentiasa memastikan 34 buah stesen radio kelolaannya sentiasa relavan, ‘relatable’ (boleh berhubung) dan juga disayangi di hati pendengar setia mereka.
Ketua Pengarah RTM Datuk Suhaimi Sulaiman, berkata bagi meneruskan misi itu program-program menarik harus disajikan sama ada melalui siaran langsung di radio, media sosial mahupun turun ke lapangan khas buat pendengar di samping meneroka sasaran baru pendengar.
“RTM juga sangat menghargai peranan radio lebih seabad yang menjadi medium penyampai maklumat, mendidik anak bangsa dan menghiburkan dengan pengoperasian 95 buah pemancar untuk 34 buah stesen yang menawarkan penstriman langsung radio kegemaran para pendengar kini boleh diikuti melalui RTMKlik,” katanya ketika merasmikan Program Sambutan Hari Radio Sedunia 2024 di Taman Negara Johor, Tanjung Piai, di sini pagi tadi.
Hari Radio Sedunia disambut pada 13 Februari setiap tahun bagi menghargai peranan lebih 100 tahun radio sebagai medium penyampai maklumat selain menjadi platform hiburan dan industri muzik di seluruh dunia.
Antara pengisian yang memeriahkan lagi program adalah siaran langsung Program Selamat Pagi Malaysia, Konti Radio RTM, persembahan artis serta gerai pameran.
Turut hadir Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Pegawai Daerah Pontian Haji Zainal Eran serta Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Johor Saiful Hisham Mansor.
-ZS-