Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Shaik Mohamad Fikri Shaik Ismail (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 16 Feb (Malaysiaaktif) – Kesedaran menjaga kesihatan meskipun sudah menjangkau usia warga emas mendorong lebih 40 peserta menghadiri Sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat Daerah Kuala Nerus bertemakan ‘Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser’ di Taman Tasik Kuala Nerus, di sini semalam.
Salah seorang peserta Zuraidah Jusoh, 52, berkata beliau begitu teruja untuk menghadiri program ini bagi menambah ilmu berkenaan penjagaan kesihatan di usia emas selain dapat mengeratkan silaturahim bersama rakan-rakan yang lain.
“Bagi warga emas seperti kami banyak perkara perlu diberi perhatian untuk memastikan kesihatan berada pada tahap terbaik seperti pemakanan sihat, bersenam selain pengambilan ubatan bagi mencegah penyakit tertentu,” katanya selepas menyertai aktiviti ‘fun walk’.
Menurut Othman Hassan, 77, beliau berpendapat program seperti ini dapat membuka mata lebih ramai warga emas sepertinya untuk mengambil berat tentang penjagaan kesihatan apabila umur semakin meningkat.
“Amalan gaya hidup sihat serta menjalani saringan antara usaha yang wajar dilakukan bagi mencegah dan mengawal penyakit kanser”, katanya.
Pemeriksaan kesihatan secara percuma dan kaunter informasi pergigian turut disediakan di program tersebut.
-ZS-