
Laporan/foto: Azreen Ahmad/FB Akmal Saleh
MERLIMAU, 20 Feb (Malaysiaaktif) – Sambutan Tahun Baharu Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Bandar Merlimau meriah dengan kehadiran warga Merlimau dan penduduk sekitar.
Sejarah tercipta, buat pertama kalinya persembahan tarian naga dan singa dipersembahkan di tengah-tengah bandar Merlimau.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau Muhamad Akmal Saleh, walaupun berbeza kaum dan budaya tetapi kita tetap sebagai satu keluarga bersama meraikan perbezaan dengan mencari persamaan.
“Selain meraikan perayaan Tahun Baharu Cina, kita bersyukur kerana hidup dalam sebuah negara dan negeri yang bukan sahaja unik tetapi juga lebih bertoleransi dalam kepelbagaian kaum dan bangsa serta agama yang ada dalam negara kita ini,” katanya kelmarin.
Turut diadakan penyampaian sumbangan kepada warga emas DUN Merlimau, nyalaan bunga api dan tanglung, persembahan khas pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Merlimau serta pemberian angpau kepada kanak-kanak sebagai penutup acara.
-ZS-