Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Yok Kasi Riuh! Hargai Peranan Radio kepada Masyarakat

By 13 Februari 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Sabah)

TAWAU, 13 Feb (Malaysiaktif) – Radio sebagai pelopor peranti digitalisasi maklumat masih mempunyai peranan yang sangat penting sebagai medium komunikasi masyarakat pada masa kini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan, berkata radio kekal relevan sebagai wadah dalam menyalurkan maklumat yang tepat dan mutakhir.

Jelasnya, biarpun wujud pelbagai alternatif komunikasi digital yang lain, radio memiliki kekuatan tersendiri terutama bagi memastikan masyarakat cakna dengan perkembangan semasa atau terkini daripada kerajaan.

“Meskipun persaingan radio semakin mencabar, bukan sahaja dengan kehadiran televisyen, wayang gambar malah penggunaan meluas telefon bimbit dan komputer telah banyak mempengaruhi dominasi radio dalam kalangan masyarakat pada masa kini.

“Contohnya semasa penularan COVID-19, radio berupaya mengurangkan kegusaran masyarakat, sekali gus mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak berkuasa,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Radio Sedunia, Jabatan Penyiaran Malaysia, Sabah (RTM) mudi Tawau pada Ahad.

Tambah Nizam, penganjuran program tahunan seperti ini akan memberi manfaat yang besar buat rakyat dan penduduk setempat terutama melibatkan lebih ramai rakan strategik sekaligus satu bentuk penghargaan atas peranan radio sebagai medium penyampai maklumat, hiburan dan industri muzik.

“Saya berharap agar sambutan Hari Radio Sedunia ini dapat diteruskan dan dikembangkan pada masa akan datang sekaligus mengingatkan kita peranan dan fungsi radio yang sentiasa releven dengan perkembangan semasa,” ujarnya.

Program ‘Yok Kasi Riuh!’ yang julung kali diadakan di Daerah Tawau itu melibatkan pelbagai aktiviti bertempat di Padang Bandaran Tawau bermula 7 pagi hingga 10 malam bertemakan “Seabad Menyampai Maklumat, Menghibur dan Mendidik”.

Untuk rekod, Showcase telah menampilkan artis Rahmad Mega, On Switch, Jun serta artis residen TAWAUfm Siti Zulaiha selain persembahan nyanyian penyampai radio SABAHfm, SABAHVfm, TAWAUfm, SANDAKANfm dan KENINGAUfm.

Majlis turut dihadiri oleh Datuk Hamild Awang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Tuan Jasmin Hussin, Ketua Polis Daerah Tawau, Teknologis Cyril Simon Timbalan Pengarah, Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah dan para pemimpin masyarakat.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda