Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Bubur Lambuk ‘Seafood’ Segar di Masjid An-Nur Kuala Sanglang

By 19 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Anuar Che Amat

SANGLANG, 19 Mac (Malaysiaaktif) – Bagi mencipta  kelainan di dalam pembuatan bubur lambuk di bulan Ramadan ini, Masjid An-Nur, Kuala Sanglang, di sini telah memperkenalkan menu istimewa iaitu bubur lambuk ‘seafood’ kepada anak anak kariah dan sekitarnya.

Menurut Mohamad Sofi Mohamad Saad, 37, yang merupakan setiausaha dan tukang masak di masjid tersebut, pembuatan bubur lambuk di masjid ini telah diadakan sejak tahun 2015 lagi tetapi penghasilan bubur lambuk ‘seafood’ ini bermula pada tahun 2022.

“Dahulu kami cuma menggunakan bahan-bahan yang selalu dimasukkan di dalam bubur lambuk seperti ayam atau daging tetapi pada dua tahun lepas pihak penyelia serta seluruh jawatankuasa masjid mengambil keputusan untuk mencuba menu bahan baharu iaitu udang dan ketam,” ujarnya.

“Setiap hari tiga orang tukang masak akan memasak di bahagian dapur masjid bermula pukul 10.00 pagi menggunakan dua periuk besar dengan bahan mentah seperti 20 kilogram (kg) beras, udang lipan sebanyak 30 kg, udang laut sebanyak 20 kg dan juga ketam bergantung pada hasil tangkapan nelayan,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, bahan mentah laut dipilih kerana kawasan Kuala Sanglang ini berdekatan dengan laut dan hasil laut mudah diperolehi.

“Anggaran 450 bungkus bubur lambuk mampu dihasilkan dan akan diedar selepas solat asar kepada anak kariah dan orang ramai.

“Pembuatan bubur lambuk ini adalah daripada sumbangan orang ramai dan dimulakan sejak dari 1 Ramadan sehingga 27 Ramadan ini.

Bagi seorang lagi tukang masak Hakimi Yaacob, 46, penghasilan menu bubur lambuk ‘seafood’ ini juga bertujuan membolehkan orang ramai mendekatkan diri dengan Masjid An-Nur.

-ZS-

Tinggalkan komen anda