Laporan/foto: Aini Aziz/Shuhaimi Ahmad
MARANG, 19 Mac (Malaysiaaktif) – Setiap tahun apabila tibanya bulan Ramadan, pelbagai aneka kuih-muih tradisi menjadi pilihan hati untuk disajikan sebagai juadah berbuka puasa.
Antara kuih tradisi yang sering menjadi ‘buruan’ ramai ialah kuih akok.
Kuih yang diadun daripada tepung gandum, telur, santan serta gula ini cukup popular dalam kalangan masyarakat Pantai Timur dan dijadikan sebagai pemanis mulut ketika berbuka puasa.
Pengusaha akok di Kampung Mak Kemas Mohd Zukri Sulong, 38, memperoleh limpahan rezeki di bulan Ramadan apabila mampu menjual sehingga 700 biji akok setiap hari sepanjang bulan suci ini.
“Sejak awal Ramadan lalu, saya tidak menang tangan membuat akok untuk dijual di gerai berhampiran rumah dan juga menerima tempahan dari pelbagai pihak,” ujarnya ketika ditemui, di sini hari ini.
“Dari segi harga, saya menjual akok dengan harga RM5 untuk lima biji,” katanya.
Selain akok, Mohd Zukri juga turut menghasilkan bingka kelapa dan bahulu tetapi dalam kuantiti yang sedikit.
-ZS-