Laporan/foto: Rajeswari Anbazagan/Ahmad Suhaimi Mokhtar (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengharapkan lebih banyak syarikat korporat memberi sumbangan bagi membantu golongan memerlukan.
“Saya berharap lebih ramai rakan korporat akan mengikuti jejak mereka pada masa hadapan selain saya juga dimaklumkan bahawa mereka akan terlibat dalam satu skim pengagihan 5,000 bakul makanan di seluruh negara yang memberi manfaat kepada keluarga yang kurang berkemampuan di Malaysia.
“Komitmen Foodpanda ini amat selari dengan agenda dan hasrat kerajaan yang memberi penekanan tinggi terhadap usaha menyantuni dan memartabatkan golongan kurang bernasib baik bagi menjamin kesejahteraan hidup mereka,” katanya.
Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Inisiatif Ramadan CSR bersama Foodpanda Malaysia dan rakan kolaborasi pada Majlis Iftar Perdana Lembah Pantai, di sini semalam.
“Saya juga teruja untuk membawa berita baik tentang lanjutan kepada usaha mulia ini, yang mengalu-alukan anda semua untuk memainkan peranan anda.
“Sepanjang Ramadan ini, bagi setiap pesanan yang dibuat melalui aplikasi Foodpanda dengan kod ‘DERMA’, Foodpanda akan menyumbang kepada tujuan murni ini melalui perniagaan Pandamart untuk membantu keluarga yang memerlukannya,” katanya.
Menurutnya lagi, kempen tersebut bukan sahaja membuktikan kuasa tindakan kolektif dalam menjana kebaikan, tetapi juga menonjolkan komitmen tidak berbelah bahagi pihak berkepentingan untuk menyokong mereka yang kurang bernasib baik pada saat getir ini.
Pada majlis yang sama Fahmi turut melancarkan program pengagihan bakul makanan dengan kerjasama MyFundAction, sebuah pertubuhan bukan kerajaan.
Fahmi Fadzil turut mengumumkan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai dengan pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Program Simpanan SSPN Prime bagi anak kelahiran kawasan Parlimen Lembah Pantai untuk tahun 2024.
“Sebanyak RM200 akan disalurkan secara terus ke akaun SSPN anak terbabit, manakala RM100 diberi secara ‘one-off’ (sekali beri) kepada ibu bapa. Semoga kempen ini dapat terus menggalakkan golongan ibu bapa membuat penyimpanan awal bagi pendidikan tinggi anak-anak.
“Objektif kempen ini adalah untuk memastikan masa depan anak-anak Lembah Pantai untuk menangani kos pendidikan tinggi serta program ini akan memudahkan para ibu bapa untuk membuat penyimpanan demi masa hadapan anak-anak mereka,” katanya.
Sumbangan Zakat juga diberi kepada insan terpilih beserta dengan sumbangan beg Foodpanda kepada warga Lembah Pantai.
Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP) bersama Pegawai Penerangan Daerah dan Penyelaras kawasan Lembah Pantai di IWK Eco Park Lembah Pantai.
-ZS-