Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Kaunter PADU Masih Dibuka Menjelang Tarikh Akhir Pendaftaran

By 25 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Saufi Ab Ghani/ Noor Haswan Noor Azman

KOTA BHARU, 25 Feb (Malaysiaaktif) – Walaupun hanya berbaki seminggu sahaja lagi bagi pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) iaitu pada 31 Mac, kaunter PADU masih dibuka kepada orang ramai.

Ahli Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) antara individu yang turut serta dalam mengemas kini maklumat ke dalam PADU semalam di Pejabat Penerangan Daerah Kota Bharu.

Dengan panduan dan bantuan dari Jabatan Perangkaan (DOSM) Negeri Kelantan, rata-rata pengamal media hadir bagi melengkapkan permohonan mereka.

Presiden KEMUDI Muhd Yatimin Abdullah, berkata pendaftaran PADU pada hari ini (Ahad) khusus diadakan bagi ahli KEMUDI yang telah mendaftar tetapi masih belum melengkapkan permohonan mereka.

“Terdapat segelintir ahli yang belum berkesempatan mendaftar dan terdapat beberapa orang yang telah mendaftar tetapi belum lengkap sepenuhnya maklumat.

“Jadi, pada hari ini dengan panduan dari pegawai DOSM kita dapat melengkapkan pendaftaran,” katanya.

Pengarah Penerangan Malaysia Negeri Kelantan Muhd Nor Aswadi Md. Nor yang turut berkunjung, berkata masih terdapat permintaan daripada orang ramai untuk membuka kaunter PADU meski sudah menghampiri tarikh akhir.

“Sehingga kini, seramai 484,639 atau 38.8 peratus daripada 1.2 juta rakyat Kelantan sudah mengemas kini PADU bermula 2 Januari lalu.

“Melalui kerjasama dengan DOSM Kelantan bagi mengurus pembukaan kaunter pendaftaran ini, saya berharap tiada seorang individu yang akan terkecuali daripada mendaftar bagi mengelakkan mereka tercicir dari menerima manfaat dan bantuan daripada kerajaan mengikut kelayakan mereka,” katanya.

Menurut Nor Aswadi lagi, Jabatan Penerangan juga bersedia untuk memperluas promosi melalui aktiviti hebahan Info On Wheels (IOW) yang biasa dilaksanakan di setiap kawasan sekiranya terdapat pecutan pendaftaran di saat -saat akhir,” katanya.

Kaunter pendaftaran PADU telah dibuka bermula jam 9.00 pagi sehingga 1.00 tengahari itu berjaya membantu mendaftar 30 orang pengamal media di Kelantan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda