Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Program Jom Masak Bubur Lambuk Satukan Komuniti

By 25 Mac 2024Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Perak

BAGAN DATUK, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang tahun 2024 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Mini Arena KRT Taman Bagan Pasir, di sini pada Sabtu.

Pegawai Perpaduan Daerah Bagan Datuk Raja Noor Safeera Raja Ibrahim, 48, berkata aktiviti penyediaan bubur lambuk yang bermula seawal pukul 8 pagi itu dijayakan bersama 12 KRT DUN Hutan Melintang.

“Aktiviti ini bukan sahaja diadakan untuk meneruskan tradisi gotong-royong di bulan Ramadan malah bertujuan mengajak rukun tetangga agar kekal aktif di samping mengeratkan hubungan antara ahli jawatan kuasa dan komuniti,” jelasnya.

Beliau merakamkan penghargaan atas sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak dalam menjayakan program ini terutama KRT Taman Bagan Pasir yang membantu menyediakan tempat dan persiapan.

Program dirasmikan oleh ADUN Hutan Melintang Wasanthee Sinnasamy.

“Terima kasih kepada semua KRT dan JPNIN Daerah Bagan Datuk kerana sentiasa bersama-sama dalam menjayakan program yang menyatukan masyarakat ini,” katanya.

Tambahnya, amalan bersatu padu ini selari dengan kehendak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menginginkan semua rakyat hidup bersatu padu bersama kerajaan perpaduan.

Penyampaian Kotak Rahmah dan edaran bubur lambuk merupakan acara kemuncak program.

-ZS-

Tinggalkan komen anda