Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

HSA Mahu Orang Ramai Terus Derma Darah di Bulan Ramadan

By 18 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Shah Hood (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru memerlukan bantuan orang ramai untuk menderma darah bagi menampung peningkatan keperluan darah menjelang musim perayaan kali ini.

Ketua Jabatan Perubatan Transfusi HAS Dr Mohamad Mizan Gusari, berkata menurut statistik tahun-tahun sebelum ini, kutipan darah dijangka menurun sebanyak lebih kurang 25 peratus daripada bulan-bulan lain sepanjang tahun.

“Keperluan darah akan meningkat terutamanya menjelang musim perayaan nanti akibat kemalangan yang mungkin berlaku disebabkan banyak aktiviti pergerakan pengguna di atas jalan raya.

“Sebab itu saya ingin mengajak orang ramai sama ada beragama Islam dan bukan Islam untuk datang menderma darah dan seterusnya menstabilkan stok darah dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya selepas program Influencer@JaPen Johor yang disiarkan secara langsung di laman rasmi media sosial Jabatan Penerangan Negeri Johor, di sini hari ini.

Dr Mohamad Mizan, berkata proses derma darah pada bulan puasa sangat mudah.

Penderma hanya perlu melewatkan waktu bersahur sekitar jam 5 pagi hingga 5.45 pagi dan hadir menderma lebih awal sebelum jam 9.45 pagi.

“Menderma darah di kempen derma darah juga dijalankan sehingga waktu malam dan orang ramai boleh rujuk jadual kempen menerusi laman Facebook rasmi Jadual Kempen Derma Daerah Johor Bahru.

“Bagi yang berpuasa, jangan takut untuk menderma darah kerana menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Hal Ehwal Malaysia ke-4, menderma darah di bulan Ramadan tidak membatalkan puasa dan hukumnya adalah harus,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda