Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Inisiatif Peduli Alam Sekitar: Pelajar USM Bersihkan Pantai

By 11 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Aziana Azreen (Barat Daya) / Norhasliza Hamzah (USM)

GELUGOR, 11 Mac (Malaysiaaktif) – Kira-kira 30 orang pelajar berserta staf akademik dan sokongan dari Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM) mengorak langkah menyahut seruan membersihkan pantai di Teluk Bahang, di sini kelmarin.

Menurut pengerusi program Mohd Azri Awang Kechik, inisiatif ini tidak sekadar tentang membersihkan pantai, tetapi lebih kepada memupuk nilai kepedulian dan menggalakkan perubahan sikap dalam pengurusan sisa sampah.

“Kami mengumpul pelbagai jenis sampah, terutamanya plastik, dan barang terbuang sepanjang 500 meter pantai dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP),” katanya.

Program ini juga menggabungkan elemen kebersamaan dengan sesi sembang santai yang bertujuan untuk mempereratkan hubungan dalam kalangan pelajar RPJJ yang mengikuti kursus intensif di USM.

Azri yang merupakan pelajar tahun akhir RPJJ berkongsi tanggungjawab dengan timbalannya, Ooi Mei Mei yang juga seorang pelajar tahun dua RPJJ dan Ahli Majlis MBPP yang menguruskan aktiviti pembangunan hebat dan alumni (HDA).

Program Bersih Pantai dan Sembang Santai ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Dekan RPJJ USM Prof. Madya Dr. Zulnaidi Yaacob.

Salah seorang pelajar yang turut serta dalam program ini, Muhammad Syaiful Hakimi Syahrulnizam, berkata kepentingan inisiatif sebegini dalam membentuk kesedaran alam sekitar serta mempereratkan silaturahim dalam kalangan pelajar dan pensyarah RPJJ.

Turut hadir dalam program ini adalah Timbalan Pendaftar RPJJ Mohd Rashid Abdul Rejab, Pensyarah Bidang Kesusasteraan Dr. Jacquelina Karimon dan Pensyarah Bidang Kursus Universiti Dr. Darwalis Sazan.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda